5,838 calon STPM Kelantan lulus penuh



KOTA BHARU - Seramai 5,838 atau 95.99 peratus daripada 6,082 calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Kelantan mendapat kelulusan penuh.

Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang berkata, daripada jumlah tersebut, 3,321 calon atau 54.61 peratus mendapat kelulusan empat dan lima prinsipal berbanding 3,365 tahun lalu.

"Catatan keputusan tersebut menunjukkan calon STPM yang lulus penuh di negeri ini mengatasi keputusan peringkat nasional sebanyak 3.81 peratus," katanya pada sidang media sempena pengumuman keputusan peperiksaan berkenaan di Jabatan Pelajaran Negeri di sini, hari ini.

Hussain berkata, pada tahun ini Kelantan mencatat sejarah apabila sekali lagi mempunyai pelajar terbaik peringkat nasional.

"Pelajar berkenaan ialah Muhammad Zulhilmi Mohd Salleh dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota di sini, yang dianugerahkan pelajar cemerlang STPM 2011 peringkat Nasional dengan keputusan lima Prinsipal A," katanya.

Menurutnya, selain Muhammad Zulhilmi, JPN Kelantan turut mempunyai tiga calon lain yang mendapat A dalam semua mata pelajaran dan ketiga-tiga mereka dari sekolah di bawah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas.

"Calon dimaksudkan ialah Nurul Shazwani Kamarudin Darus dari SMK Tengku Panglima Raja, Teng Lik Sien dari SMK Tendong, dan Mazian Mat dari SMK Perempuan," katanya.

Beliau berkata, 14 daripada 59 sekolah bantuan kerajaan di negeri ini berjaya mencapai keputusan 100 peratus dalam peperiksaan STPM tahun 2010.

Menurutnya, antara sekolah tersebut ialah SMK Zainab 1, SMK Kota, SMK Tok Janggut, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah, SMK Tanah Merah 1, SMK Pahi, SMK Mahmud Mahyiddin, SMK Dato' Perdana, Maktab Sultan Ismail, SMK Kamil, SMK Ismail Petra, SMK Sri Gunung, SMK Kubang Kerian 2, dan SMK Kubang Bemban.

Hussain berkata, seramai 16 calon sekolah bantuan kerajaan memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0 iaitu lima di PPD Kota Bharu, tiga di PPD Pasir Mas, tiga di PPD Machang, tiga di PPD Bachok dan dua di PPD Pasir Puteh.

"Saya mewakili warga pendidik seluruh negeri Kelantan mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya dan kejayaan ini adalah hasil kerjasama serta komitmen semua pihak terutama para pendidik, ibu bapa dan masyarakat amnya," katanya.

0 comments:

Post a Comment